soal jawab fiqh: hukum merancang keluarga & pakai kasut dalam rumah
Soalan dari pembaca: 1. Saya dah berumahtangga setahun lebih. Di sebabkan kami belum brsedia utk mempunyai anak, saya telah memakan pil perancang dgn izin suami. Tetapi, baru2 ini saya ada terbaca cerita yg ada sebuah kaum yg di laknat kerana “melepaskn” air mani di luai faraj isteri kerana seolah2 melawan takdir allah untuk tidak mahukan anak.persoalannya, adakah sama perilaku mereka dgn saya? iaitu memakan pil pncegah kehamilan yang seolak2 menghalang takdir Allah dari mendapat anak.
2.saya mempunyai anak yang berusia 17 bulan dan anak saya sangat aktif dan sering minta untuk di bawa berjalan. Kadangkala saya cuma memakaikannya kasut dan membawanya berjalan di dalam rumah ataupun meletakkannya di dalam kereta bayi dan menolaknya di dalam rumah. Apakah hukumnya membiarkan kasut yg sudah di guna pakai di luar rumah dan kereta bayi yang tayarnya juga sudah di bawa berjalan di luar rumah untuk di gunakan di dalam rumah? Adakah ianya najis? Kerana saya pernah lihat orang2 barat dan org2 arab membawa masuk kasut mereka ke dalam rumah
Jawapan pertama:
??????? ?????? ??????
Tidak dapat dipastikan kekuatan riwayat kisah yang menyatakan bahawa terdapat kaum yang dilaknat kerana melepaskan air mani di luar faraj. Kebanyakan kitab-kitab syarah hadith utama tidak menyebutkan kisah tersebut. Dengan itu saya berpandangan bahawa kisah itu tidak mempunyai asas yang kukuh. Pada kebiasaannnya ulama’ fiqh ketika membahaskan sesuatu bab mereka tidak akan meninggalkan sebarang kisah yang berkait rapat dengan bab itu.
Persoalan ini ada kaitannya dengan sebuah permasalahan besar yang beraku sejak dari zaman Rasulullah lagi iaitu masalah ‘azal. Imam an-Nawawi mentakrifkan ‘azal sebagai :
“ Seorang lelaki yang menggauli isterinya, Apabila hampir mencapai kemuncak, dia mengeluarkan zakar dan mengalirkan air mani diluar faraj”. (Syarah Sahih Muslim)
Rasulullah pernah menyebutkan bahawa ‘azal ini merupakan pempunuhan yang tersembunyi sebagaimana yang diriwayatkan dari Imam Muslim.
Imam Ibn Hazm berpegang dengan hadith ini untuk mengaharamkan ‘azal. Imam Ibn Hibban juga mengharamkan perbuatan ‘azal. Bahkan beliau meletakkan bab khas didalam kitab Sahihnya “ Menyebutkan khabar yang menunjukkan bahawa perbuatan ini berdosa dan tidak diharuskan” (Fathul bari)
Tetapi terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh imam at-Tirmidzi dan an-Nasa’i berkenaan pandangan orang yahudi yang menganggap bahawa ‘azal merupakan pembunuhan yang kecil : Rasulullah menjawab “ Orang yahudi telah menipu, Sekiranya Allah mengkehendaki untuik menciptakan sesuatu, tiada sesiapa yang mampu menghalang.
Secara zahirnya hadith ini bercanggah dengan hadith Muslim yang menyatakan bahawa ‘azal merupakan pembunuhan yang tersembunyi . Imam al-Baihaqi menggabungkan di antara makna kedua-dua hadith ini dan menyatakan bahawa hadith Muslim membawa maksud dimakruhkan ‘azal. Imam Ibn hajar menyenaraikan beberapa cara menggabungkan di antara kedua-dua hadith ini. Diantaranya yang paling jelas adalah , yahudi menganggap bahawa ‘azal adalah sebahagian dari bentuk pembunuhan, dan menurut mereka, ia pembunuhan kecil. Rasulullah membantah pendapat mereka dalam hadith riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i . Bahkan menurut Islam, ‘azal sekadar pembunuhan yang tersembunyi. Disebutkan di dalam hadith perkataan pembunuhan yang tersembunyi kerana pada hakikatnya ia bukanlah merupakan bentuk pembunuhan. Hanya terdapat persamaan diantara ‘azal dan pembunuhan dalam menghalang proses kelahiran. Kenyataan ini sekaligus membantah yahudi yang mengganggap bahawa Azal merupakan sebahagian dari pembunuhan yang kecil.
Terdapat juga beberapa hadith yang yang menunjukkan keharusan melakukan ‘azal. Diantaranya adalah
Hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukkhari dari jabir : Kami melakukan ‘azal sedangkan al-Quran sedang turun ( dan Allah tidak melarang dari melakukannya)
Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah tidak melarang para sahabat dari melakukan ‘azal dan Allah tidak menurunkan ayat yang mencela perbuatan ini. Seandainya perbuatan ini adalah haram dan diakukan tanpa pengetahuan RAsulullah , semestinya Allah akan menurunkan ayat membantah perbuatan mereka ini , tetapi Rasulullah mendiamkan diri dan Allah tidak menegur mereka, ini dalil kuat bagi membuktikan bahawa ‘azal ini tidak diharamkan.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Said al-Khudri : Apabila Rasulullah ditanya oleh para sahabat berkenaan hukum melakukan ‘azal , baginda bersabda “ Tidaklah kamu perlu meninggalkan perbuatan itu, Apa sahaja makhluk yang telah Allah tetapkan kejadiannaya sehingga ke hari kiamat pasti akan berlaku”
Hadith ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan diantara melakukan ‘azal ataupun meninggalkannya. Seandainya Allah telah menetapkan bahawa kelahiran itu pasti akan terjadi , tiada sesiapa yang dapat menolak kehendak Allah. Bukanlah suatu perkara yang mustahil apabila sebahagian dari air mani seseorang mengalir keluar sebelum mencapai kemuncak jima’.
Berdasarkan hadith-hadith ini, sebahagian besar ulama’ berpandangan bahawa perbuatan ‘azal tidaklah diharamkan. Imam an-Nawawi berpandangn bahawa hukum ‘azal ini adalah makruh bahkan sebahagian ulama’ seperti ibn Hajar memilih pandangan bahawa perbuatan ‘azal diharuskan tetapi lebih baik kalau tidak melakukannya.
Imam al-Hahamain pula menyatakan bahawa sebab pengharaman adalah kerana takutkan kemiskinan. Bagi sesiapa yang melakukan ‘azal disebabkan oleh perkara yang lain, maka hilanglah pengharaman ‘azal.
Imam Ibn hajar al-Asqalani mengaitkan masalah ini dengan perbuatan sebahagian wanita yang memakan pil merancang kelahiran . Sekiranya ‘azal dibenarkan, maka tiada sebab untuk mengharamkan penggunaan cara lain bagi merancang keluarga. Secara umumnya ‘azal juga merupakan sebahagian dari proses merancang keluarga.
Saya berpandangan bahawa tidaklah menjadi satu kesalahan untuk sesebuah keluarga merancang kelahiran dengan menggunakan pil ataupun cara-cara lain yang tidak membawa mudharat tetapi yang lebih baik adalah membiarkan hubungan suami isteri berlangsung secara semulajadi tanpa menggunakan kaedah merancang keluarga.
Wallahu a’lam
(Rujukan : fathul Bari , Syarah Sahih Muslim , Aun al-ma’bud)
Jawapan kedua:
??? ???? ?????? ??????
Tidak ada dalil sahih yang mengharamkan perbuatan memakai kasut didalam rumah. Bahkan Rasulullah sendiri membenarkan para sahabat untuk memakai kasut ketika sedang mendirikan Solat.
Di dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda
“Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat , maka pakailah kedua-dua ’sandal’nya ataupun tanggalkanlah kedua-duanya dan jangan menggunakan ’sandal’ untuk menyakiti orang lain”.
(Al-Hakim, At-Tabrani, Ibn Hibban, Ibn Khuzaimah)
Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Syadad bin Aus, Rasulullah bersabda
“Liinilah Yahudi dan Nasrani , kerana sesungguhnya mereka tidak mendirikan solat dengan memakai ’sandal’ dan kasut mereka”
(Abu Daud , Al-Hakim , Ibn Hibban)
Kasut yang dibenarkan penggunaannya ketika solat bukanlah kasut yang sekadar digunakan untuk berjalan-jalan di dalam rumah sahaja. Bahkan merangkumi kesemua jenis kasut yang digunakan dalam kehidupan seharian. Buktinya adalah sebuah hadith yang menggambarkan keadaan dizaman Rasulullah:
Dari Abu Said Al-Khudri berkata: Ketika Rasulullah sedang solat bersama-sama dengan para sahabat , tiba-tiba baginda menanggalkan ’sandal’nya dan meletakkannya di sebelah kiri baginda. Apabila para sahabat melihat perbuatan tersebut , mereka juga turut menanggalkan kasut masing-masing. Apabila telah selesai dari menunaikan solat , Rasulullah bertanya kepada mereka apakah sebab mereka menganggalkan ’sandal’ masing-masing. Para sahabat menjawab engkau telah menanggalkan ’sandal’mu maka kami pun menanggalkan ’sandal’ kami. Rasulullah bersabda “ Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku mengkhabarkan bahawa terdapat najis pada [tapak] kasutku. Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid , maka hendaklah ia memastikan [kebersihan tapak kasutnya]. Sekiranya dia melihat najis pada tapak kasutnya maka hendaklah dia menggeser-geserkan kasutnya dan memakainya ketika Solat.
(Abu Daud, Ahmad)
Hadith ini dengan jelas menunjukkan bahawa , seandainya terdapat najis pada permukaan kasut sekalipun , maka sudah memadai dengan menggeser-geserkan permukaan itu pada tanah untuk mengalihkan najis dan selepas itu ia sudah dikira suci untuk menunaikan solat. Bahkan dalam kisah ini Rasulullah tidak mula membatalkan solatnya dan memulakan semula solat, baginda sekadar menanggalkan kasut sahaja.
Satu kaedah yang menjadi asas dalam fiqh islam adalah ,
“ Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan sekadar hanya syak”
Berdasarkan kaedah ini, ulama’ menyebutkan bahawa pada asalnya sesuatu perkara itu dianggap tidak ada selagi belum dapat dibuktikan kewujudannya. Najis hanya dapat dibuktikan dengan kewujudan, rasa, warna ataupun dan bau. Selagi tidak wujud salah satu dari ketiga-tiga unsur ini, sesuatu perkara tidak dinggap kotor ataupun bernajis. Inilah pandangan yang dipegang oleh ulama’ hadith dan fiqh yang melihat Islam dari konteks agama yang mudah. Rasulullah bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah :
“ Sesungguhnya agama ini adalah mudah. Tiadalah sesiapa yang akan menyusahkan agama melainkan pasti dia akan dikalahkan”
(R. Al-Bukhari)
Tetapi sebahagian golongan tasauf dan tarikat telah melampau-lampau di dalam permasalahan ini. Mereka menimbulkan syubhat terhadap kesemua perkara. Mereka melarang dari mencampurkan di antara baju yang digunakan untuk solat dan baju-baju yang lain ketika mencuci baju, ramai juga pengikut-pengikut mereka yang sering mengulang-ulang takbiratul ihram dan menganggap bahawa menyentuh budak lelaki yang belum berkhatan akan membatalkan wudhu dan solat. Sesungguhnya kesemua pandangan ini tiada asasnya di dalam Sunnah Rasulullah. Kebaikan hanyalah dengan mengikut Sunnah. Sesiapa yang berpaling dari petunjuk Sunnah pasti akan tersesat jalan.







Info yang sangat berguna. Saya cuba subscribe kepada RSS tapi tak dapat, harap boleh baiki RSS feed tu yer. Thanks